GERIK – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencederakan ibu dan adik lelakinya menggunakan spanar dan pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bongor di sini hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya selepas kedua-dua mangsa hadir dalam keadaan luka dan berdarah di Balai Polis Bersia pada pukul 7.50 pagi.
“Kejadian berlaku ketika wanita berusia 54 tahun itu sedang solat sebelum dia diserang suspek berusia 29 tahun yang bertindak memukulnya. Adik lelaki suspek berusia 15 tahun telah melihat abangnya memukul ibu mereka pada bahagian muka dan atas badan sebelah kiri.
“Dia yang ingin membantu turut dipukul suspek. Suspek memukul kedua-dua mangsa mengggunalan spanar dan pisau pemotong getah. Dua beranak itu dihantar ke Hospital Gerik dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam dan luka hirisan pada beberapa bahagian badan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Taiping, tetapi dibebaskan kerana tidak mempunyai sebarang masalah mental. dan punca kejadian hari ini kerana suspek dipercayai berhalusinasi hingga bertindak mencederakan mangsa.
Kata beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan di Mahkamah Taiping esok dan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE