fbpx

Kesian guru Tingkatan 1 nak pulihkan pelajar tiada UPSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) ternyata memberi impak besar kepada murid sehingga dilihat mereka hilang semangat, tiada hala tuju dan tiada matlamat.

Bekas guru, Mohd. Fadli Salleh berkata, pelajar selepas pemansuhan UPSR yang naik ke sekolah menengah ramai ketinggalan, asas tidak kukuh dan lemah dalam subjek teras khususnya.

“Kasihan guru-guru Tingkatan 1 nak pulihkan. Alangkah baiknya jika UPSR dikembalikan semula.

“Bukan semua cara lama itu ketinggalan dan tak bagus untuk diteruskan. Kadang yang lama itu jauh lebih baik dari yang baru,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Mohd. Fadli, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang diwujudkan kini tidak memberi dorongan yang kuat kepada murid-murid bahkan kepada ibu bapa serta guru.

“UASA setakat ini tidak memberi dorongan kuat pada murid-murid, ibubapa dan guru-guru, tidak seperti UPSR. Jauh sekali jika dibandingkan dengan UPSR,” katanya.

Rata-rata orang ramai turut bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh bekas guru itu yang pernah menegur mengenai sistem pendidikan negara yang dikatakan lemah selepas beberapa ujian dimansuhkan sebelum ini.

“Betul cikgu,dapat tengok beza budak yang ada UPSR dengan yang tiada. Yang Ada UPSR akan ada ‘push factor’ supaya mereka belajar bersungguh. Ada sebab utama mereka nak capai target.

“Kalau UASA ni, tidak semua budak ada semangat yang sama,” kata Haida Salleh.

“Sangat memberi impak cikgu, sebelum ni semasa ada UPSR, pelajar yang tidak boleh membaca biasanya dalam purata seorang atau dua sahaja, tapi sejak UPSR dimansuhkan, pelajar yang masuk ke tingkatan 1 tidak boleh membaca seramai 18 orang.

“Kami guru di sekolah menengah kena bekerja keras untuk ajar mereka membaca supaya mereka tidak ketinggalan,” kata Eyhan Raihan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI