SHAH ALAM – Kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund mendoakan semoga pemain kebangsaan, Faisal Halim segera sembuh selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lepas.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi sebentar tadi, Dortmund dalam satu kenyataan menyeru agar keganasan dalam bola sepak dihentikan.
“Faisal Halim adalah pemain sayap Selangor FC dan skuad utama Malaysia. Dia berjaya menjaringkan gol ke atas Korea Selatan pada kempen Piala Asia 2023, Januari lepas.
“Faisal juga berjaya menjaringkan 13 gol dan sembilan bantuan jaringan untuk membantu Selangor FC bergelar naib juara Liga Super musin lepas.
“Susulan serangan tersebut, Faisal telah ditempatkan di hospital dan kami seru agar keganasan dalam bola sepak dihentikan. Kami bersama Faisal Halim,” kata kenyataan tersebut.
Sebagai rekod, Faisal telah disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada serangan yang berlaku di Damansara sehingga disahkan melecur tahap empat.
Selepas menjalani empat pembedahan di hospital swasta di Shah Alam, Faisal yang pada awalnya agak kritikal disahkan semakin ceria dan menunjukkan perkembangan positif. – KOSMO! ONLINE