fbpx

IWK anjur teater Najis Jadi Teman bersempena sambutan ulang tahun ke-30 syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Esuriyanti (tiga dari kiri, berdiri tengah) bersama sebahagian daripada artis dan anak-anak daripada YCK selepas sidang akhbar IWK mengenai pementasan teater di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) bakal menerbitkan satu teater amal komuniti bertajuk Najis Jadi Teman sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-30.

Ketua Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, teater tersebut bakal membawa penonton menelusuri perjalanan dan cabaran para wira IWK dalam proses rawatan kumbahan serta memberi gambaran tentang pentingnya tugas mereka dalam menjaga kesihatan awam dan persekitaran alam sekitar.

Menurut beliau, teater tersebut juga menjanjikan pengalaman yang bakal membuka minda masyarakat mengenai kerja-kerja kotor, sukar dan berbahaya dalam industri pembetungan.

“Inisiatif ini merupakan satu cara unik dan kreatif syarikat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan rawatan kumbahan.

“Dalam masa yang sama, kami juga ingin mendidik dan me­nyuntik inspirasi kepada penonton mengenai kerja-kerja kami di IWK yang mungkin tidak disedari oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Tea­ter Amal IWK bersama YCK bertempat di IWK Eco Park@Pantai Dalam di sini baru-baru ini.

Wan Esuriyanti menjelaskan, nama teater tersebut diinspirasikan daripada sebuah puisi yang pernah ditulisnya ketika melihat rakan-rakan sekerja, khususnya pasukan operasi IWK yang berhempas pulas memastikan sistem pembetungan berjalan seperti biasa ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Saya mendapat inspirasi daripada kisah dan pengorbanan pa­sukan operasi IWK ketika itu.

“Tajuk Najis jadi Teman itu merupakan metafora semata-mata untuk menjelaskan kepada umum mengenai realiti sebenar kerja yang kami lakukan di sini,” jelasnya.

“Melalui kerjasama dengan Yayasan Chow Kit (YCK) dan Wa­yang Kitchen, teater ini bertujuan untuk mendidik dan menyuntik inspirasi kepada penonton, di samping meningkatkan semangat mereka dalam menyumbang ke arah perubahan positif demi sanitasi yang lebih baik,” jelasnya.

Teater Najis Jadi Teman dibintangi oleh penyanyi dan penulis lirik, Atilia Haron bersama pelakon Alfred Loh dan Phraveen Arikiah.

Difahamkan, para pelakon utama akan dibantu oleh barisan anak-anak daripada YCK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang ­menyokong kanak-kanak dan remaja berisiko di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Pementasan teater tersebut dijadual berlangsung pada 22 Jun di IWK Eco Park@Pantai Dalam dan tiket boleh dibeli bermula 20 Mei 2024 (Isnin) di platform www.cloudjoi.com dengan harga RM100 seorang.

Semua keuntungan hasil jualan tiket teater amal tersebut akan disumbangkan terus kepada YCK. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI