LONDON – Netizen terkejut melihat imej baharu di laman sosial yang didakwa Harimau Tasmania walaupun saintis-saintis menyatakan bahawa binatang tersebut sudah pupus 88 tahun lalu lapor laman berita Daily Star.
Gambar dikongsikan oleh pengguna Reddit itu menggemparkan orang ramai. Sebilangan netizen percaya Harimau Tasmania masih wujud, namun sesetengah yang lain mencurigai foto tersebut.
Seorang lelaki bernama Zack berkongsi gambar itu dengan pakar hidupan liar Amerika Syarikat, Forrest Galante. Zack berkata, dia terserempak dengan haiwan itu di tepi jalan ketika bercuti bersama bapanya di Tasmania pada April lalu.
Bercakap dengan Forrest di saluran Youtube, Zack mendakwa bahawa dia dan ayahnya menyangka haiwan itu seekor anjing, namun mengubah fikiran selepas mendengar ia ‘menjerit’.
Menurut Zack, pertembungan itu berlangsung sekitar 30 saat dan dia merakam gambar binatang tersebut.
“Kami tidak pasti apa yang akan kami akan lakukan kerana ia seperti menunggu sesuatu atau bersedia untuk menyerang,” katanya. – AGENSI