JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Purbalingga, wilayah Jawa Tengah gempar selepas sebuah kubur menempatkan jenazah seorang gadis digali semula dan tanahnya dibiarkan berselerakan, lapor laman berita Kumparan semalam.
Berdasarkan keterangan yang tular di laman sosial, tali pengikat kain kafan jenazah juga dikatakan hilang.
Ketua polis tempatan, Asisten Komisioner Polis Muslimun bagaimanapun berkata, kain kafan itu berada dalam keadaan sempurna.
“Memang benar, ada kubur yang dirosakkan, namun jenazah dalam keadaan baik,” katanya.
Menurut Muslimun, insiden itu disedari penduduk setempat pagi semalam sebelum mereka membuat laporan polis.
Menurut penduduk, kubur itu milik gadis berusia 19 tahun yang baru dikebumikan sehari sebelumnya.
“Kubur itu baru berusia sehari, manakala Allahyarhamah ialah gadis berusia 19 tahun yang baru meninggal dunia pada hari sebelumnya,” ujar Muslimun.
Polis masih memburu pelaku yang merosakkan kubur tersebut, manakala penduduk setempat membersihkan semula kubur itu dan menimbus tanah. – AGENSI