fbpx

F1: Verstappen kembali selesa muncul pendahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VERSTAPPEN merangkul kemenangan kelima daripada tujuh perlumbaan musim ini selepas menawan saingan di Imola kelmarin. - AFP

IMOLA, ITALI – Juara dunia Formula Satu (F1) tiga kali, Max Verstappen kembali meraih momentum kemenangan selepas berjaya menyekat cabaran sengit pelumba McLaren, Lando Norris untuk menjuarai Grand Prix (GP) Emilia Romagna malam kelmarin.

Verstappen yang tewas di GP Miami baru-baru ini dilihat enggan mengulangi kekecewaan tersebut dengan melepaskan kemenangan kepada Norris sekali lagi selepas tampil dengan pemanduan lebih agresif untuk menjulang gelaran di Emilia Romagna.

Pada saingan itu, Verstappen dicabar hebat oleh Norris selepas pemandu Britain tersebut berjaya menamatkan perlumbaan tempat kedua dengan hanya dipisahkan 0.725 saat di belakang pemandu pasukan Red Bull tersebut.

Kemenangan Verstappen kelmarin adalah yang ketiga di Imola, kelima musim ini dan kali ke-59 keseluruhan dalam kariernya sekali gus mencipta jurang 48 mata di depan Charles Leclerc dalam carta kedudukan pemandu.

“Pada perlumbaan tersebut, kami menampilkan persembahan yang cukup baik terutama di pertengahan perlumbaan. Tetapi, selepas 15 pusingan terakhir keadaan mula berbeza apabila tayar saya mula hilang cengkaman.

“Tetapi, akhirnya saya berjaya mencipta kemenangan di sini. Saya sangat gembira kerana melakukan dengan baik dan apapun terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras menyediakan jentera terbaik,” katanya.

Pada perlumbaan tersebut, pelumba pasukan Ferrari, Leclerc terpaksa berpuas hati menamatkan saingan tempat ketiga selepas mengatasi Oscar Piastri (McLaren) di tempat keempat.

Verstappen yang telah meraih lima kemenangan daripada tujuh perlumbaan musim ini berpeluang untuk menjulang gelaran dunia keempat sekiranya mengekalkan aksi konsisten dengan rekod kemenangan berterusan di atas podium. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI