PETALING JAYA- Dua penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM6,000 terdiri daripada wang tunai dan juga peralatan elektronik.
Ia sebagai balasan melepaskan pembayaran berhubung kerja penyelenggaraan kuarters selain membantu mendapatkan projek di sebuah pejabat perikanan di negeri tersebut.
Menurut sumber, kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita yang berusia 20-an hingga 40-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di SPRM Labuan, kira-kira pukul 6 petang, semalam.
Susulan penahan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan pagi tadi dan perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu dikeluarkan oleh Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad.
“Suspek lelaki yang berusia sekitar 20-an dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 dan telah menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 sebagai balasan melepaskan pembayaran berhubung kerja-kerja penyelenggaraan kuarters.
“Manakala suspek wanita pula dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2022 dan telah menerima rasuah sebuah peralatan elektronik bernilai kira-kira RM3,000 sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan projek,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Tuan Datu Robbyie Shym Datu Pindatun ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-KOSMO! ONLINE.