fbpx

Diana Danielle diganggu mesej lucah, beri amaran ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Diana Danielle mendedahkan berdepan dengan ancaman mesej lucah berbaur gangguan seksual.

PETALING JAYA – Tidak terkecuali daripada menjadi mangsa gangguan seksual menerusi media sosial, pelakon juga penyanyi, Diana Danielle mengingatkan orang ramai yang menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh sebegitu itu tampil mengambil tindakan sepatutnya sebagai satu pelindungan diri.

Ujar Diana Danielle Danny Beeson, 32, terdapat akta yang melindungi orang awam daripada dikacau dan dihendap individu yang tidak dikenali termasuk menerusi media sosial.

“Macam yang saya beritahu tiada beza kalau awak berkata-kata atau hantar mesej di media sosial dengan bila bercakap secara berdepan sebab gangguan seksual tetap gangguan seksual.

“Perkara itu boleh digunakan terhadap awak, jadi bila awak tengok gambar atau tengok apa yang seseorang sedang lakukan dan rasa macam nak hantar mesej pelik-pelik atau ugutan, benda seperti itu boleh digunakan terhadap awak jadi berhati-hati,” katanya menerusi Instagram.

Diana turut berkongsi tangkap layar mesej langsung (DM) daripada individu dimaksudkan dalam hantaran tersebut.

Begitupun, isteri kepada pelakon dan pengarah Farid Kamil itu tidak memperincikan butiran diterima atau mendedahkan identiti pelaku, sebaliknya sekadar memberi peringatan.

“Saya maklumkan ini bukan untuk ambil tindakan tapi yang menariknya ramai yang tak tahu pasal perkara ini,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, Diana turut menggesa orang ramai mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka menjadi mangsa gangguan seksual.

“Kalau awak rasa dalam bahaya dan ada orang yang ‘stalking’ awak atau selalu hantar mesej pelik-pelik, awak boleh bawa perkara ini ke pihak polis,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu sememangnya aktif menggunakan laman sosial sebagai medium untuk berinteraksi dengan pengikut.

Selain aktiviti seni, Diana juga kerap memberi ulasan atau pandangan berkaitan isu semasa terutama mengenai hal ehwal kekeluargaan kemasyarakatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI