PETALING JAYA – “Kalau sudah ‘get back’ (jalinkan hubungan semula), baguslah. Biasalah gaduh-gaduh manja.”
Demikian komen netizen apabila muncul dakwaan penyanyi Sufian Suhaimi kembali bercinta dengan bekas kekasihnya, Rania Al Sadat.
Dakwaan tersebut muncul selepas sebuah video berdurasi 25 saat menunjukkan seorang lelaki yang dipercayai Sufian bersama seorang wanita di sebuah festival makanan.
Usaha Kosmo! Online mendapatkan kenyataan pelantun lagu Semua Tentangmu itu belum berhasil apabila Sufian dikatakan sibuk menjalani penggambaran.
Dalam masa sama, hasil pemerhatian Kosmo! Online turut mendapati Sufian dan Rania dilihat mengikuti semula akaun Instagram masing-masing.
Ini menguatkan lagi spekulasi percintaan semula mereka yang dikatakan sudah berakhir pada April lalu.
Sebelum ini, impian penyanyi berusia 32 tahun itu mendirikan rumah tangga sekali lagi tidak kesampaian apabila hubungannya dengan wanita berusia 23 tahun itu terlerai pada minggu kedua Ramadan.
Spekulasi mengatakan Sufian sudah putus cinta dengan Rania timbul apabila mereka tidak lagi mengikuti antara satu sama lain dalam Instagram.
Pada Januari lalu, Sufian berkongsi berita gembira mengesahkan pihaknya menghantar rombongan merisik kepada keluarga Rania
pada Oktober tahun lalu. -KOSMO! ONLINE