fbpx

Arsenal perlukan 100 mata jadi juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAVERTZ (kiri) berjaya meledak gol kemenangan Arsenal ke atas Everton pada penghujung perlawanan. – AFP

LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui anak-anak buahnya perlu mencipta keajaiban meraih minimum 100 mata jika berhasrat untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim depan.

Sebagai rekod, hasrat The Gunners untuk menamatkan kemarau 20 tahun dengan meraih gelaran EPL buat kali pertama sejak 2004 tidak kesampaian apabila dibezakan dua mata dengan juara, Manchester City.

Arsenal yang mengharapkan tuah tidak bernasib baik meski­pun berjaya melakar kemena­ngan 2-1 ke atas Everton pada aksi terakhir liga di Stadium Emirates malam kelmarin kerana City juga berjaya menewaskan West Ham 3-1.

Kata Arteta, barisan pemain perlu menggandakan usaha bermula dari sekarang andai berhajat untuk menamatkan dominasi The Citizens yang melakar kejuaraan keempat EPL berturut-turut.

“Saya berada di City (selaku penolong jurulatih) ketika mereka menang dengan 100 mata. Saya rasa mungkin kita perlu lakukan perkara yang sama jika mahu menamatkan penantian gelaran liga.

“Secara jujur, saya tidak risau atau kecewa dengan keputusan ini kerana pasukan berada di landasan yang tepat. Saya bangga kerana apa yang dipamerkan oleh pemain sejak Disember lepas sangat luar biasa.

“Kami telah memberi cabaran kepada City sehingga perlawanan terakhir. Mungkin jika ada yang perlu disesalkan, saya lihat kekalahan kepada Aston Villa pada April lepas sebagai punca kami muncul naib juara musim ini,” kata Arteta.

Arsenal ketinggalan kepada Everton menerusi sepakan percuma Idrissa Gueye (m-40), tetapi bangkit memenangi perlawanan hasil jaringan Takehiro Tomiyasu dan Kai Havertz pada minit ke-43 serta 89. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI