BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah berada dalam ‘gear lima’ terutama menjelang saingan Sukan Olimpik Paris selepas bertekad untuk mencipta kemenangan dalam baki tiga kejohanan yang disertai dalam tempoh kurang dua bulan ini.
Gandingan ranking No. 4 dunia tersebut mengakui akan berusaha sebaik mungkin dan akan menjadikan Malaysia Masters sebagai medan terbaik mengukur keupayaan mereka serta mendapatkan prestasi tertinggi sebelum berlepas ke Olimpik Paris.
“Saya harap tiga kejohanan ini kita dapat kemenangan. Apa yang kami harapkan adalah berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Olimpik Paris. Jadi, kami mahu menggunakan tiga kejohanan ini iaitu di Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk mencari kemenangan,” kata Aaron ketika ditemui selesa sesi menguji gelanggang di Axiata Arena pagi semalam.
Dalam pada itu, Wooi Yik juga senada dengan rakan sepasukanya kerana akan berusaha sehabis baik untuk memberi kemenangan buat Malaysia di Axiata Arena.
“Lepas Piala Thomas banyak benda kita kena analisis dan kita ambil kejohanan ini sebagai percubaan sebelum pergi ke kejohanan yang lebih besar
“Mengenai undian di Malaysia Masters, kita hanya fokus pada permainan sendiri dan jaga keadaan sendiri tu yang paling penting. Kita akan cuba sedaya upaya bergelar juara di kejohanan ini,” ujarnya.
Menjelang saingan di Malaysia Masters, gandingan negara itu berpeluang untuk menjulang gelaran di laman sendiri ekoran ketiadaan ramai beregu utama dunia yang memilih menyertai kejohanan lebih besar seperti Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.