fbpx

Waris nelayan lemas terima dua faedah Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven (kiri) ketika hadir menziarah balu Allahyarham Mohd. Azrul dan anak-anaknya.

PETALING JAYA – Balu dan empat anak nelayan, Mohd. Azrul Rosli yang meninggal dunia akibat lemas pada 5 April lalu menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Allahyarham merupakan pencarum Perkeso menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 sejak 24 Februari 2020.

Katanya, caruman itu merupakan inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Pulau Pinang yang dibuat melalui potongan sekali setahun menerusi elaun sara hidup bulanan LKIM yang diterima Allahyarham Mohd. Azrul.

“Ia melayakkan warisnya menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM1,395 setiap bulan dan Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 secara sekali bayar.

“Balunya, Aiza Musliha Muda menerima bayaran pertama FOT pada Jumaat lalu. Bayaran FOT berkadar RM1,395 akan diberikan dan dibahagi mengikut syer masing-masing untuk sepanjang hayat buat Aiza.

“Empat anak Allahyarham pula ditanggung sehingga mereka berusia 21 tahun atau selagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau melakukan Ziarah Prihatin ke kediaman Allahyarham Mohd. Azrul di Titi Teras dan menyerahkan sumbangan wakallah Perkeso serta kotak Prihatin hari ini.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, gerakan mencari diaktifkan apabila Mohd. Azrul dilaporkan tidak pulang selepas keluar menangkap ikan seorang diri. Lelaki itu kemudiannya ditemukan lemas keesokan hari.

Mengulas lanjut, Steven memberitahu, ketika ini terdapat 37,047 nelayan yang berdaftar daripada keseluruhan 611,617 orang bekerja sendiri (OBS) aktif menerusi Akta 789.

“Perkeso sudah meluluskan sebanyak 1,925 kes tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi tempoh Januari hingga Mei ini melibatkan pembayaran berjumlah RM8.01 juta.

“Individu bekerja sendiri termasuk nelayan perlu cakna tentang kepentingan jaringan keselamatan sosial dalam menyediakan perlindungan komprehensif yang bukan sekadar menjaga kebajikan pencarum, sebaliknya tanggungan mereka,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI