PETALING JAYA – Penyanyi Zizi Kirana berkongsi detik cemas apabila berdepan dengan dua insiden pengeboman ketika menjalankan misi bantuan kemanusiaan di wilayah Azaz, Syria pada akhir Mac lalu.
Kata Zizi atau nama lengkapnya Nur Fazelah Mad Tahil, 39, sebelum insiden yang meragut lapan nyawa dan 40 cedera parah itu berlaku, Zizi bersama empat individu lain dibawa ke pangkalan tentera Syria oleh askar tempatan dan Turkiye untuk disiasat.
Jelasnya, ketika berada di pangkalan dia terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum kesemuanya dibawa ke bilik bawah tanah oleh tentera.
“Sebelum kejadian saya merakam video sekitar kawasan pasar yang ada di Azaz kerana itu satu-satunya pasar yang ada di wilayah terbabit. Kemudian ada tentera Syria mendatangi kami dan meminta agar memadam semua video yang telah diambil.
“Setelah berpuas hati video tersebut dipadamkan kami dilepaskan. Kami meneruskan usaha untuk membeli beberapa makanan untuk agihan bantuan seterusnya,” katanya ketika ditemui pada konsert minggu kedua The Hardest Singing Show semalam.
Jelas Zizi, kejadian mendebarkan itu berlaku pada malam hari pertama dia tiba di Syria bersama seorang rakan, dua kakitangan pertubuhan Cinta Syria Malaysia dan seorang juruvideo.
Katanya, mereka ke lokasi terbabit kerana ingin mendapatkan bekalan makanan setelah selesai mengadakan misi bantuan pada sebelah siang.
Mengulas lanjut, insiden tersebut turut mencetuskan ketakutan kepada keluarga terutama suaminya, aktor Yusuf Bahrin yang ketika itu berada di Mekah.
“Ketika kejadian saya sempat memaklumkan kepada suami dan meminta maaf supaya dihalalkan makan dan minum. Sekiranya saya syahid pada waktu itu, tolong maafkan salah silap saya.
“Perasaan saya pada waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu apabila bunyi letupan tersebut kedengaran sangat kuat dan gegaran itu boleh terasa hingga ke jantung.
“Apa yang saya boleh boleh buat hanya berdoa dan berserah kepada Allah agar diberi perlindungan dan reda dengan segala kemungkinan yang akan berlaku,” katanya yang mengulas mengenai kejadian pada Ramadan lalu.
Zizi bersama yang lain ditempatkan di dalam bilik bawah tanah di pangkalan tentera itu kira-kira satu jam sebelum dibenarkan pulang ke pejabat organisasi Cinta Syria Malaysia dengan menaiki van.
Setelah kejadian serangan mulai reda, Zizi bersama pasukannya meneruskan misi bantuan kemanusiaan selama enam hari di negara itu. – KOSMO ONLINE