TEHRAN – Satu rakaman video menunjukkan Presiden Ebrahim Raisi berada di dalam helikopter yang dinaikinya sebelum ia terhempas di sempadan Iran dengan Azerbaijan, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Dalam klip video tersebut, pemimpin itu dilihat memandang ke luar tingkap, manakala seorang anggota delegasi yang tidak dikenali duduk bertentangan dengannya.
Raisi berada di dalam helikopter tersebut sebelum ia dilaporkan terputus hubungan semalam. Cuaca berkabus serta hujan menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.
Pegawai-pegawai Iran memberi amaran bahawa nyawa Raisi ibarat di hujung tanduk ketika sekutu-sekutu Tehran termasuk Russia menghantar bantuan untuk operasi menyelamat.
Terdahulu, Raisi, 63, berada di wilayah Azerbaijan untuk merasmikan Empangan Qiz-Qalasim.
Raisi berlepas bersama Gabenor wilayah Azerbaijan Timur dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian dalam konvoi disertai tiga buah helikopter.
Dua daripada helikopter itu selamat mendarat di destinasinya, namun Raisi dilaporkan hilang.
Kehilangan beliau mencetuskan operasi mencari besar-besaran dengan pasukan penyelamat menyusuri kawasan pergunungan, namun bergelut dengan keadaan cuaca buruk.
Komander tentera Iran mengarahkan semua sumber tentera dan pasukan elit Pengawal Revolusi digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.
“Suasana gelap dan hujan turun tetapi pencarian tetap diteruskan.
“Pasukan penyelamat telah sampai ke kawasan dipercayai lokasi nahas, namun, hujan menyebabkan aliran lumpur yang menyukarkan pencarian,” kata seorang wartawan tempatan. – AGENSI