SEREMBAN – Projek pembangunan industri baharu Seri Pajam Development (SPD) Tech Valley Senawang yang bernilai RM3 bilion dijangka dapat mengukuhkan Negeri Sembilan sebagai pusat inovasi dan teknologi serantau.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan perindustrian berkeluasan 523 ekar (211 hektar) itu yang berkonsepkan Taman Perindustrian Berpusat dan Berpagar (Managed Industrial Park) akan menarik kemasukan pelabur berpotensi tinggi.
“SDP Tech Valley dijangka akan menjadi motor penggerak ekonomi baru di Negeri Sembilan dengan jangkaan dapat membuka lebih 40,000 peluang pekerjaan pada masa hadapan.
“Peluang pekerjaan ini kita sasarkan kepada pekerja tempatan berkemahiran tinggi melalui sektor pembuatan dan perkhidmatan (semi konduktor) sekali gus mendorong kemasukan pelabur asing dan tempatan yang akan menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah SPD Tech Valley di Senawang di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE