PUTRAJAYA- Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian yang menyasarkan institusi penting negara akan menentukan sama ada ia adalah tindakan rambang atau terrancang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya dan PDRM memandang serius insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor dan Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang dan cubaan menceroboh Istana Negara baru-baru ini.
Satu lagi kejadian membabitkan kes ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
“Kita sedar insiden terkini yang menyasarkan institusi penting negara termasuk Istana Negara, balai polis dan Ahli Parlimen. Polis dan KDN memandang serius perkara ini dan sedang memantau situasi dengan rapi.
“Polis juga sudah memulakan siasatan segera bagi setiap kes tersebut dan berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
“Ini adalah komitmen pasukan polis kerana ketenteraman dan keselamatan awam itu tiada kompromi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.