PETALING JAYA – Perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.1 peratus tahun ke tahun kepada RM221.74 bilion pada April lalu, sejajar dengan pemulihan perdagangan global.
Eksport naik 9.1 peratus kepada RM114.72 bilion setelah mencatatkan penyusutan dua bulan berturut-turut, manakala import meningkat 15.6 peratus kepada RM107.02 bilion.
Untuk bulan yang ke-48 berturut-turut sejak Mei 2020, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan, kali ini berjumlah RM7.7 bilion.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, dari segi pasaran, eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua digit, manakala eksport ke China pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Jelasnya, ini menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia.
“Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), perdagangan barangan global diunjurkan meningkat 2.6 peratus tahun ini setelah mengalami penguncupan pada 2023.
“Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menjangkakan pemulihan mendadak dalam aliran barangan pada 2024 setelah mengalami kelembapan pada 2023.
“IMF dalam Tinjauan Ekonomi Dunia April 2024 telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global kepada 3.2 peratus bagi 2024 (anggaran pada Januari 2024: 3.1 peratus) berikutan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan di AS.
“Pertumbuhan KDNK Malaysia pula disasar berkembang 4.4 peratus pada 2024 (anggaran pada Januari 2024: 4.3 peratus),” katanya.
MITI menambah, berdasarkan International Institute for Management Development (IMD) World Competitiveness Ranking 2023, Malaysia berada di kedudukan ke-27 sebagai negara paling berdaya saing dalam tadbir urus ekonomi (2022: kedudukan ke-32).
“Prestasi yang lebih baik dalam kedudukan kompetitif global ini akan merangsang perdagangan Malaysia, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menyokong perkembangan ekonomi Malaysia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE