LEVERKUSEN – Pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso mengakui puas apabila berjaya membantu pasukan pahat sejarah dengan mengakhiri kempen Bundesliga musim ini tanpa sebarang kekalahan.
Pada aksi terakhir kelmarin, Leverkusen tidak tertekan untuk melakar keputusan 2-1 ke atas Augsburg hasil jaringan Victor Boniface dan Robert Andrich sekali gus menamatkan saingan dengan 28 kemenangan dan enam keputusan seri.
Kata Alonso, anak-anak buahnya memang layak untuk mencipta sejarah baharu bola sepak Jerman selepas rekod ‘invincibles’ tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kelab sebelum ini.
“Saya rasa ini adalah sejarah terbaik dalam saingan Bundesliga. Dalam tempoh 20 tahun, kejayaan pasukan kami pasti akan dikenang kerana ia sukar untuk dipecahkan.
“Saya percaya semua pihak tidak akan lupakan kejayaan ini kerana inilah misi pasukan bukan sahaja untuk muncul juara liga buat kali pertama, tapi kami mampu lakukan dengan bergaya.
“Apa yang pasti, saya hadiahkan keputusan ini buat penyokong setia kami yang sentiasa berada di belakang pasukan tidak kira ketika susah atau senang dan kini kita boleh fokus harungi dua lagi aksi untuk melengkapkan gelarang trebel musim ini,” katanya.
Leverkusen kini akan mengalihkan tumpuan untuk harungi aksi final Piala Jerman bertemu Kaiserslautern selain perlawanan akhir Liga Europa menentang Atalanta. – AGENSI