PETALING JAYA – Pertubuhan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Makan Malam Himpunan 1,000 Jemaah bagi mengumpulkan semua rakyat tempatan yang memiliki susur galur dan sejarah keturunan Arab dalam satu majlis yang sangat meriah.
Ini adalah tahun kelima persatuan itu menganjurkan makan malam dan ia telah mendapat sambutan baik daripada kumpulan tersebut.
Bagi majlis kali ini, ia dihadiri oleh lebih 500 tetamu yang datang dari Johor, Singapura dan Indonesia untuk bertemu selain menikmati makan malam selain berhibur.
Presiden Al-Jamiatul Khairiah, Datuk Seri Dr. Syed Hussein Al Habshee berkata, majlis tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara ahli persatuan dengan ahli persatuan Arab yang lain yang sentiasa aktif di Malaysia serta juga bersama komuniti tempatan.
“Di sini kami berkumpul untuk mengeratkan hubungan yang lebih erat bukan sahaja dalam kalangan ahli persatuan ini tetapi juga dengan duta-duta luar yang turut dijemput hadir, lebih menarik mereka datang untuk memberi tanda sokongan kepada kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Makan Malam Himpunan 1,000 yang dianjurkan di sebuah hotel di Ampang baru-baru ini.
Duta luar negara antaranya Yaman, Mesir dan Jordan telah menceriakan majlis tersebut dengan menampilkan persembahan istimewa seperti gambus dan zapin Arab kepada tetamu.
Jamiatul Khairiah yang telah ditubuhkan sejak tahun 1985 ketika ini memiliki keahlian lebih 1,000 rakyat Malaysia yang berketurunan Arab dan juga tinggal di Lembah Klang.
Menurut beliau, keturunan Arab di negara ini mempunyai banyak kabilah seperti Al-Atas, Al-Habshee, Al Jufri dan Albar.