fbpx

Kyu minat bidang media, aktif aktiviti kebudayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KYU memasang impian menjadi pegawai perhubungan awam selepas tamat pengajian kelak.

DALAM kehidupan, setiap orang mempunyai pegangan hidupnya yang tersendiri untuk mengejar cita-cita. Begitu juga dengan Qurratu Ain Bujang.

Gadis berusia 22 tahun yang mesra disapa dengan panggilan Kyu itu berkata, pegangan hidupnya cukup mudah iaitu it is what it is (terima hakikat hidup).

“Bagi saya, dalam kehidupan ini kita sepatutnya tidak menyesal jika ada sesuatu perkara yang tidak berlaku mengikut kemahuan.

“Saya mudah terima hakikat apabila saya telah memberi 100 peratus usaha untuk melakukan sesuatu.

“Biarpun hasilnya tidak seperti yang saya mahukan, namun saya tahu Allah SWT mempunyai rencana lain untuk saya,” katanya.

Untuk makluman, Kyu merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Komunikasi Media) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambahnya, dalam kehidupan ini, tidak pernah ada jalan mati untuk mencapai apa yang kita sasarkan.

Mengulas lanjut, Kyu mengakui, sebagai seorang manusia, dia juga akan berasa kecewa jika gagal mendapatkan sesuatu seperti diharapkan.

Namun dari situ, dia belajar untuk menerima dan bukannya meratapi sehingga tidak mahu meneruskan hidup.

Gadis berasal dari Kuching, Sarawak itu merupakan anak kedua daripada tiga beradik perempuan.

Bapanya bekerja sebagai editor akhbar dan ibunya dahulu adalah seorang penari sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa.

KYU (depan, kiri) merupakan seorang yang aktif dalam kelab kebudayaan di UKM.

Kerjaya ibu bapanya itu sedikit sebanyak menyebabkan dia meminati bidang media dan kebudayaan.

Sementara itu, menceritakan tentang pemilihannya menyambung pengajian dalam bidang komunikasi media, Kyu menjelaskan, pilihan tersebut dibuat sendiri kerana minat.

“Sejujurnya, ayah saya telah berpesan supaya tidak masuk dalam bidang komunikasi.

“Ini kerana, ayah tidak suka anak-anak mengikut jejak langkahnya.

“Namun disebabkan minat, saya selitkan juga bidang komunikasi media ketika memohon menyambungkan pengajian.

“Akhirnya, saya ditawarkan untuk mengikuti pengajian dalam bidang ini.

“Sebenarnya, saya seorang yang sangat fleksibel dan sentiasa mahu cuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Menceritakan tentang cita-citanya, Kyu menjelaskan, dia berhasrat menjadi pegawai perhubungan awam kerana amat meminati bidang media dan komunikasi.

“Secara amnya, perhubungan awam adalah bidang yang kreatif, fleksibel dan mencabar, namun ia sangat menarik.

“Ketika ini, saya banyak terlibat dengan pelbagai projek.

“Saya paling seronok menyusun strategi cara rancangan itu akan dilaksanakan, mereka bentuk penjenamaan projek dan berhubung dengan pihak-pihak berkaitan,” terangnya.

Tambahnya, setelah tamat pengajian kelak, dia ingin bekerja dalam bidang tersebut bagi meraih pengalaman sebanyak mungkin.

Ujarnya, selepas itu, dia akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai seorang yang suka mencuba, Kyu juga merupakan seorang yang aktif di universiti.

Dia merupakan naib presiden bagi kelab kebudayaan kolej.

“Dalam kelab kebudayaan ini, kami ada beberapa cabang seni seperti nyanyian, band, tarian, pementasan teater, orkestra, selain produksi dan seni reka grafik.

“Dalam kelab ini, saya merupakan sebahagian daripada kumpulan penari dan peneraju kepada kumpulan produksi serta seni reka grafik,” jelasnya.

Selain itu, Kyu memegang portfolio media dalam Kelab Mahasiswa Mention (Media & Communication) UKM dan Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) dalam kampus sebagai ahli sekretariat (pereka grafik).

Meskipun jadual sebagai pelajar sangat padat, namun Kyu mempunyai cara tersendiri untuk mengisi masa lapangnya.

Dia sentiasa berusaha mengisi masa dengan bekerja sambilan untuk satu atau dua syif di kafe kampus.

“Apabila bekerja di kafe dan berada berhampiran mesin kopi, menghidu aroma biji kopi dan pastri, ia sangat terapeutik kepada saya.

“Selain itu, saya dapat banyak bergerak apabila melakukan kerja di dalam kafe sambil mendengar muzik yang dimainkan.

“Bagi saya, ia menjadi satu senaman yang menyeronokkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI