PETALING JAYA – Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan berjaya menjana potensi pelaburan dan perdagangan lebih RM2.1 bilion.
Menurut Anwar, pelaburan dan perdagangan lebih RM2.1 bilion tersebut bakal memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Lawatan rasmi saya ke Uzbekistan telah berjaya mengangkat hubungan dua hala, pelaburan, perdagangan serta kerjasama Malaysia-Uzbekistan ke tahap lebih tinggi dengan potensi eksport sekurang-kurangnya RM710 juta telah termeterai.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan hasil lawatan rasmi ini yang telah membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Malaysia dengan negara-negara di benua Asia Tengah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri memulakan kunjungan ke Kyrgyzstan pada 14 Mei lalu diikuti Kazakhstan dan Uzbekistan.
Terdahulu, kata Anwar, beliau berkesempatan makan tengah hari bersama Timbalan Perdana Menteri Pertama Uzbekistan, Achilbay Jumaniazovich Ramatov sebelum berlepas pulang ke tanah air semalam.
Menurutnya, sebelum berangkat ke lapangan terbang, kerajaan Uzbekistan menghadiahkan sepersalinan pakaian tradisi rasmi khusus buat pemimpin tertinggi Bukhara dikenali sebagai Chapan Bukhara.
Tambah beliau, Achilbay dan Penasihat Kepada Presiden Uzbekistan, Muzaffar Komilov kemudian mengiringinya dan delegasi Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bukhara.
“Saya zahirkan ucapan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa sepanjang kami berada di Uzbekistan sejak Jumaat lalu. Berat hati untuk melangkah meninggalkan Uzbekistan selepas hubungan erat yang terjalin meskipun hanya dalam tempoh singkat.
“Saya juga amat menghargai hubungan persahabatan yang telah terjalin dengan Presiden Shavkat. Terima kasih atas keikhlasan yang dihulurkan sepanjang pertemuan dan perbincangan kami.
“Penghujung kunjungan di Uzbekistan juga menutup tirai lawatan rasmi saya ke tiga negara Asia Tengah, bermula di Kyrgyzstan pada Selasa lalu, disusuli Kazakhstan pada Khamis,” kata Anwar. – KOSMO! ONLINE.