TEHRAN – Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Mokhber dijangka memangku jawatan Presiden selepas Ebrahim Raisi terkorban dalam nahas helikopter.
Perkembangan itu berlaku ketika Iran dijadualkan mengadakan pilihan raya awal.
Perlembagaan Iran menyebut bahawa naib presiden pertama berhak mengambil alih jawatan itu sekiranya Presiden meninggal dunia, meletak jawatan, dipecat, tidak hadir atau jatuh sakit untuk tempoh lebih dua bulan.
Bagaimanapun, pelantikan Mokhber masih memerlukan kelulusan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang memiliki kata putus dalam urusan negara.
Raisi yang terkorban bersama Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian dan beberapa pegawai lain semalam, sedang menghampiri akhir penggal empat tahun beliau sebagai Presiden Iran.
Dalam pada itu, pilihan raya Presiden bagi memilih pengganti tetap Raisi akan diadakan dalam tempoh 50 hari.
Mokhber, 68, dilantik sebagai naib presiden ketika Raisi mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada Ogos 2021.
Perlembagaan Iran menetapkan bahawa Presiden Iran boleh menjawat jawatan itu selama dua penggal sahaja. – AFP