TEHRAN – Pasukan penyelamat di barat laut Iran pagi tadi berjaya mengesan helikopter dinaiki Presiden Ebrahim Raisi yang hilang tetapi tiada tanda-tanda menunjukkan mangsa nahas masih hidup, lapor stesen televisyen kerajaan.
Kebimbangan meningkat mengenai nasib yang menimpa pemimpin berusia 63 tahun itu selepas helikopter membawa beliau dan Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian serta beberapa pemimpin lain terputus hubungan di wilayah Azerbaijan Timur semalam.
“Selepas menemui bangkai helikopter, tiada petanda yang menunjukkan penumpang-penumpangnya masih hidup setakat ini,” kata stesen televisyen kerajaan 15 jam selepas pesawat itu hilang
Terdahulu, ketua persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Koolivand menyatakan bahawa helikopter membawa Raisi telah ditemui tetapi situasi adalah ‘tidak baik’.
“Helikopter itu telah ditemui. Kami sedang menuju ke arah bangkai helikopter tersebut,” katanya.
Raisi, 63, berada di wilayah milik Iran itu semalam untuk merasmikan Empangan Qiz-Qalasim.
Beliau berlepas bersama Gabenor wilayah Azerbaijan Timur dan Abdollahian dalam konvoi disertai tiga buah helikopter.
Dua daripada helikopter itu selamat mendarat di destinasinya, namun Raisi dilaporkan hilang.
Kehilangan beliau mencetuskan operasi mencari besar-besaran dengan pasukan penyelamat menyusuri kawasan pergunungan, namun bergelut dengan keadaan cuaca buruk. – AGENSI