PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Islamic Development Bank di Arab Saudi (IDB) menetapkan harga korban di Tanah Suci bersamaan RM858 untuk seekor kibas bagi musim haji tahun ini.
Ketua Rombongan Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ihak IDB bersetuju untuk menawarkan harga lebih rendah iaitu RM858 untuk seekor kibas, berbanding RM936 sebelumnya.
“IDB bersetuju menawarkan harga lebih rendah dengan mengambil kira hubungan baik antara TH dengan IDB serta komitmen kedua-dua pihak sejak lebih sedekad lalu.
“Perubahan harga korban ini merupakan hasil rundingan berterusan oleh TH bersama IDB bagi mendapatkan harga yang lebih baik bagi jemaah haji Malaysia. Aqad asal juga masih terpakai dengan penurunan harga ini,” kata dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, TH akan menyelaras semula akaun simpanan TH bakal haji dan pendeposit yang telah membuat pembayaran penyertaan ibadah korban Tanah Suci sebelum ini dengan mengambil kira perubahan harga yang ditawarkan oleh pihak IDB. – KOSMO! ONLINE