SHAH ALAM – Nasib pemain kebangsaan, Faisal Halim sama ada dibenarkan keluar hospital atau pun sebaliknya hanya akan ditentukan dalam tempoh 48 hingga 72 jam daripada sekarang.
Hari ini, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey sudah menjalani pembedahan keempat membabitkan proses ‘split skin grafting’ (SSG) dan keadaannya akan terus dipantau bagi menentukan status sebenarnya.
Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr. Muhammad Hazwan Khair berkata, pembedahan keempat ini dijangka menjadi prosedur terakhir namun segala keputusan akan ditentukan oleh pakar yang merawat Faisal.
“Faisal menjalani pembedahan keempat membabitkan prosedur SSG seperti yang dirancang oleh pakar bedah. Jadi bagi sebarang perkembangan, saya rasa kita kena tunggu 48 hingga 72 jam.
“InsyaAllah ini adalah pembedahan terakhir tetapi kita perlu ingat perkara ini berperingkat dan kita perlu menilai Faisal dari semasa ke semasa. Saya harap tiada prosedur besar-besaran untuknya selepas ini.
“Semua proses (empat pembedahan) yang dilalui ini adalah langkah biasa untuk merawat kecederaan lecur dan kita jangkakan perkembangannya seperti dirancang.
“(Keluar hospital) bergantung kepada pakar bedah kerana kita bukan hanya melihat kepada status dan maklumbalas terhadap pembedahan tetapi kita melihat tahap kesihatan Faisal secara keseluruhan,” katanya.
Dalam masa sama, Hazwan akan terus diberi bantuan sewajarnya bagi memastikan Faisal mampu kembali ke lapangan.
“Kita akan meminta bantuan Institut Sukan Negara (ISN) untuk melakukan beberapa penilaian psikologi kepada Faisal.
“Kita juga akan membuat kajian mendalam bagi melihat bagaimana psikologi dan emosi Faisal kerana ini juga aspek yang penting sebelum dia kembali beraksi,” katanya. – KOSMO! ONLINE