fbpx

EPL: Man. City sekali lagi kecewakan Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BINTANG Man. City, Rodri (dua dari kiri) meraikan jaringan ketiga pasukannya untuk tewaskan West Ham United 3-1 di Stadium Etihad, sebentar tadi. - AFP

MANCHESTER – Pemain terbaik tahunan untuk musim ini, Phil Foden memainkan watak penting untuk bantu Manchester City menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut.

Pada aksi terakhir di Stadium Etihad, sebentar tadi, skuad kendalian Pep Guardiola tidak berdepan masalah meraih kemenangan 3-1 ke atas West Ham United untuk sekali lagi mengecewakan Arsenal.

Sebelum aksi bermula, rekod jelas lebih berpihak kepada Man. City yang kekal tanpa kalah dalam 16 pertemuan terakhir dimana West Ham United juga bolos dalam kesemua 17 perlawanan di Etihad.

Kejayaan ini melonjakkan Man. City selaku kelab pertama yang berjaya bergelar juara pertandingan utama empat kali berturut-turut sekaligus menyaksikan Guardiola sudah mengumpul enam pingat kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Ketika ini, Sir Alex Ferguson masih mengekalkan rekod selaku pengurus paling berjaya apabila bergelar juara sebanyak 13 kali.

Terdahulu, Foden memastikan permulaan sempurna buat Man. City apabila membuka jaringan seawal minit kedua sebelum sekali lagi menggegar gawang lawan pada minit ke-18.

Babak pertama jelas menjadi milik Man. City yang memiliki 72 peratus penguasaan dan mencipta 15 percubaan berbanding hanya dua buat West Ham United.

Ketika The Citizens terus disajikan peluang terbaik, West Ham United kembali menghidupkan semangat perjuangan apabila sepakan gunting Mohammed Kudus pada minit ke-42 berjaya merobek gawang tuan rumah yang dikawal Stefan Ortega.

Sikap sabar pemain tuan rumah ketika mengatur serangan nyata membuahkan hasil dan hanya memerlukan 14 minit di babak kedua untuk meledak gol ketiga menerusi Rodri yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti.

Bintang Man. City, Erling Haaland yang terlepas satu peluang terbaik di babak pertama terus dihimpit malang apabila berdepan situasi sama pada separuh masa kedua namun tiga jaringan terhasil sudah memadai buat The Citizens mengesahkan kejuaraan musim ini.

Selepas 38 perlawanan, Man, City mengumpul 91 mata, berkelebihan dua mata berbanding Arsenal di tempat kedua. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI