JITRA – Setelah hampir dua jam berada di atas pencawang elektrik bervoltan tinggi di Kampung Muhibbah, di sini, seorang lelaki akhirnya berjaya dibawa turun oleh anggota bomba.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dibawa turun menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) pada pukul 8.43 malam
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum itu juga dipanggil bagi memutuskan bekalan elektrik di pencawang tersebut.
“Setelah dipujuk, lelaki terbabit selamat dibawa turun dari pencawang dengan ketinggian kira-kira 25 meter,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki menggemparkan penduduk Kampung Muhibbah apabila dia secara tiba-tiba memanjat pencawang elektrik bervoltan tinggi, malam ini. – KOSMO! ONLINE