fbpx

Chegu Bard dilarang keluar kenyataan dakwaan kasino Forest City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BADRUL HISHAM atau Chegu Bard, keluar dari mahkamah selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah larangan bersuara berhubung kes kasino di Forest City, Iskandar Puteri di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengeluarkan perintah larangan (Gag Order) terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes kes kasino di Forest City, Iskandar Puteri, April lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah sama sebelum ini.

Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati perintah yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen itu gagal menimbangkan keseluruhan senario kes membabitkan responden.

Katanya, responden telah pun dituduh atas dua kesalahan yang berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan kes hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara tidak wajar untuk mencemar duli bagi menjawab isu-isu yang ditimbulkan dalam media sosial.

“Responden telah pun diberi jaminan bagi kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dalam keadaan ini, responden bebas untuk menggunakan media sosial untuk membuat hantaran atau komen-komen berkaitan kes ini.

“Di sinilah Hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan risiko nyata dan besar untuk responden mengulangi hantaran hasutan yang sama terhadap Yang di-Pertuan Agong, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan.

“Mahkamah ini berpendapat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada responden untuk bersuara bukannya hak yang mutlak. Hak bersuara ini tertakluk kepada sekatan undang-undang,” kata hakim ketika membacakan keputusannya, hari ini.

Abu Bakar berkata, responden tidak perlu menggunakan media sosial untuk mempertahankan haknya atas pertuduhan yang dihadapinya.

Tambahnya, responden turut diwakili oleh seorang peguam yang berpengalaman dan kompeten akan mendapat perbicaraan yang adil sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 5 (1), Perlembagaan Persekutuan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI