PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan Malaysia petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran laut bergelora yang dikeluarkan melibatkan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan perairan Perlis, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter (m), yang mana berbahaya kepada aktiviti bot-bot kecil,” katanya.
Selain itu, bagi aktiviti perkapalan pula, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dijangka di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka dan selatan Tioman sehingga 5 petang ini.
“Sementara itu, amaran angin kencang barat daya berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 m turut dijangka di kawasan perairan Phuket sepanjang tempoh 22 Mei sehingga 26 Mei.
“Bagi kawasan perairan Selat Melaka Utara pula, angin kencang barat dengan kelajuan dan ketinggian ombak sama, turut dijangka sepanjang tempoh lima hari tersebut,” katanya.
Menurut MetMalaysia, keadaan angin kencang dan laut bergelora dengan kelajuan angin mencecah 50 kmsj dan ketinggian ombak 3.5 m itu, adalah berbahaya kepada aktiviti bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – KOSMO! ONLINE.