KUALA LUMPUR – Syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka, AEON Co (M) Bhd. baru-baru ini memperkenalkan Sucrée Amor, iaitu rangkaian produk baharu yang menawarkan pelbagai jenis pencuci mulut lazat.
Rangkaian diinspirasikan dari perkataan Perancis, yang bermaksud ‘kelazatan manisan yang memikat’ itu menampilkan pelbagai pilihan macaron, kek lapis yang lembut, puding berkrim dan banyak lagi.
Majlis pelancaran Sucrée Amor diadakan di AEON Mid Valley, di sini pada 16 Mei lalu, menampilkan persembahan ahli silap mata yang memukau dengan tema masquerade yang menghiburkan pelanggan dan jemputan termasuk pempengaruh.
Ketua Bahagian Delicatessen, Bakeri dan Pusat Pemprosesan Makanan AEON, Azidah Alimuddin berkata, Sucrée Amor adalah produk yang diilhamkan pihaknya untuk memenuhi kehendak pencinta pencuci mulut.
Jelasnya, rahsia manisan Sucrée Amor terletak pada teknik yang digunakan dan penggunaan bahan berkualiti tinggi, menghasilkan penampilan menakjubkan dengan gabungan rasa dan tekstur sempurna.
“Misi kami adalah untuk membawa kegembiraan dan kepuasan kepada pelanggan melalui penawaran pencuci mulut yang lazat.
“Kami yakin bahawa Sucrée Amor akan menjadi produk yang disukai di AEON Delicatessen, sekali gus meningkatkan reputasi kami dalam menyediakan makanan segar dan berkualiti tinggi.
“AEON Delicatessen memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk hidangan siap saji, menawarkan pelbagai pilihan makanan istimewa, dari sushi dan bento hingga ayam panggang, pencuci mulut, makanan ringan panas serta minuman sihat.
“Semua hidangan yang disajikan di AEON Delicatessen adalah disahkan halal dan disediakan segar setiap jam, setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.
AEON Delicatessen sentiasa memperluas jangkauannya dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu.
Untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kualiti dan keterjangkauan, AEON telah memperbaharui imej jenama Delicatessen dengan memperluaskan rangkaian produknya.
Pada masa ini, AEON Delicatessen menampilkan empat jenama iaitu Coco Café, sebuah kafe gaya kopitiam yang menarik; La Boheme yang menawarkan pelbagai roti, pastri, dan puding yang segar; La Boheme Coffee yang terkenal dengan campuran unik biji kopi dari Brazil Cerrado, Colombia Huila, dan Indonesia Sumatra; serta Sucrée Amor yang baru diperkenalkan.
Kesemuanya boleh dinikmati di mana-mana stor AEON terdekat. – KOSMO! ONLINE