SUNGAI PETANI – Kira-kira 65 murid Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya, di sini menerima rawatan selepas disyaki mengalami keracunan makanan, hari ini.
Kesemua murid tahun empat hingga enam itu dikatakan mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas makan kuetiau sup di kantin sekolah.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Zubir Othman berkata, ramai murid mula menunjukkan simptom keracunan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
“Pihak sekolah menyediakan bilik darjah untuk dijadikan lokasi rawatan awal oleh kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda, manakala tujuh murid dirawat di Zon Kuning HSAH dilaporkan stabil,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kantin sekolah itu diarah tutup sementara selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. – KOSMO! ONLINE