BANGKOK – Dua serangan bom di wilayah Narathiwat, selatan Thailand telah menggugat proses permohonan untuk calon senator yang berlangsung hari ini, lapor laman berita Thai PBS World.
Di daerah Cho-airong, letupan berlaku berhampiran sebuah menara komunikasi, menyebabkan perkhidmatan internet terjejas.
Serangan itu menyebabkan tiga orang yang pergi ke pejabat daerah Cho-airong untuk memohon menjadi calon tidak dapat berbuat demikian. Mereka diminta untuk kembali apabila perkhidmatan internet dipulihkan.
Serangan di Cho-airong itu turut memaksa anggota-anggota pasukan keselamatan mengadakan sekatan di jalan-jalan utama di daerah berkenaan termasuk laluan menuju ke pejabat daerah.
Letupan akibat bom buatan sendiri itu mencederakan lima sukarelawan keselamatan sementara serangan bom di Sukhirin menyebabkan tiga orang cedera.
Bagaimanapun, menurut agensi berita Bernama, seorang terbunuh, manakala 13 yang lain termasuk seorang anggota polis cedera dalam serangan bom di Cho-airong dan Sukhirin. – AGENS