PUTRAJAYA – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dengan kerjasama Zurich Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful) memperkenalkan produk perlindungan takaful menyeluruh dikenali sebagai Ahli Skim Platinum (ASP) khusus kepada warga pendidik dan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara.
Lebih unik, produk dengan bayaran premium serendah RM79 itu menawarkan pelbagai gabungan manfaat sesuai dengan nilai, keperluan dan aspek kebajikan guru-guru.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, ASP diperkenalkan dengan manfaat yang ditambah baik termasuk menyenaraikan 51 jenis penyakit kritikal berbanding 36 penyakit sebelum ini selain bantuan anak istimewa, keguguran dan perkhidmatan ambulans.
Beliau berkata, ASP juga menawarkan pelan perlindungan komprehensif terhadap kematian, keilatan menyeluruh dan kekal, penyakit kritikal, perbelanjaan perubatan dengan nilai maksimum sehingga RM132,000.
“Secara amnya, ASP ini sesuai dengan peredaran masa dan ekonomi ketika ini di mana nilai manfaat diberikan amatlah bertepatan dan berpatutan dengan yuran keahlian yang dikenakan.
“YGMB akan terus komited memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk 120,000 ahli di seluruh negara menerusi pelbagai kemudahan dan manfaat lain pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara YGMB dan Zurich Takaful, di sini hari ini.
Majlis mendatangani MoU itu disempurnakan Wan Munadi mewakili YGMB, manakala Zurich Takaful diwakili Wakil Sah Zurich Takaful, Nur Fatihah Mustafa sambil disaksikan oleh Pengerusi YGMB, Aminudin Adam.
Katanya, sejak penubuhan YGMB pada tahun 1994 hingga kini, pihaknya telah membuat bayaran tuntutan manfaat kesemua kategori lebih RM22 juta.
Wan Munadi berkata, pihaknya menyasarkan dapat meningkatkan jumlah keahlian antara 40 hingga 50 peratus daripada keseluruhan 450,000 warga pendidik di seluruh negara dalam tempoh lima ke enam tahun lagi.
Menurutnya, pihaknya juga berharap sasaran keahlian itu dapat dicapai lebih cepat menerusi kerjasama strategik dengan Zurich Takaful.
Sementara itu, Nur Fatihah berkata, kerjasama dengan YGMB penting bagi meneroka dan memperluaskan rangkaian produk perlindungan takaful dalam sektor perkhidmatan awam.
“Kerjasama dengan YGMB ini adalah sebahagian cita-cita kami untuk memperluaskan produk dalam sektor perkhidmatan awam. Produk ASP ini adalah eksklusif untuk YGMB dan tidak ditawarkan kepada pihak lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE