JAKARTA – Seorang wanita di Tanjung Priok, Jakarta dibelasah beramai-ramai kerana disalah anggap mahu menculik kanak-kanak, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Perkongsian asal video tular tersebut menyatakan bahawa wanita berkenaan mahu menculik seorang kanak-kanak namun, kejadian sebenar bukan seperti yang disangkakan.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Tanjung Priok, Inspektor Tomy Brian Hutomo menjelaskan bahawa kejadian yang berlaku adalah salah faham.
Menurutnya, wanita pertengahan umur yang dikenali sebagai N pada mulanya mengaku ingin mencari anaknya di tadika.
Dia sempat bertanya kepada guru besar dan guru tadika berkenaan mengenai keberadaan anaknya.
“Wanita terbabit mencari anaknya kerana dia dan suaminya sudah lama berpisah.
“Dia masuk (ke dalam tadika) dan bertanya guru besar serta guru kelas mengenai anaknya,” kata Tomy.
Tambah Tomy, insiden tersebut bukanlah cubaan menculik, sebaliknya usaha seorang ibu yang hendak mencari anaknya yang sudah lama berpisah dan menetap bersama bekas suaminya.
Insiden itu dilaporkan berakhir setelah ia dileraikan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang kebetulan melalui lokasi berkenaan. – Agensi