KOTA TINGGI – Penampilan sulung atlet China, Cao Junyu membawa tuah apabila mengungguli kategori lelaki Kejohanan Ironman 70.3 Asia Triclub Desaru Coast di Pantai Desaru di sini semalam.
Atlet berusia 37 tahun dari Chongqing itu menamatkan cabaran renang sejauh 1.9 kilometer (km) diikuti berbasikal 90km dan berlari 21.1km walaupun terpaksa berdepan dengan cuaca panas, namun berjaya disebabkan kekuatan fizikal dan mentalnya.
“Ini adalah kejayaan pertama saya di Ironman 70.3 Desaru Coast, walaupun cuaca panas namun itu bukan menjadi halangan saya untuk memintas lain-lain peserta. Saya berharap dapat mengekalkan status juara lagi tahun depan,” katanya.
Bagi kategori wanita pula, peserta Singapura Choo Ling Er, 37, berjaya mengekalkan kemenangan yang dimenanginya pada tahun lepas.
“Saya amat gembira dengan kemenangan ini kerana sebelum ini saya terlibat dalam kemalangan jalan raya enam bulan lalu. Tetapi saya tetapkan teruskan latihan walaupun mengalami kesukaran untuk berlatih setiap hari,” jelasnya.
Seramai 800 atlet dari 49 negara memulakan cabaran Kejohanan Ironman 70.3 Asia Triclub Desaru Coast yang disempurnakan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor Ekmaluddin Ishak.
Singapura merekodkan jumlah peserta paling ramai dengan 215 atlet diikuti Malaysia (164) serta negara-negara lain yang turut mengambil bahagian seperti Indonesia, Filipina, Jepun, Hong Kong, United Kingdom, Perancis, Australia, Jerman, China serta Amerika Syarikat. – KOSMO! ONLINE