PETALING JAYA – Aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Selangor FC yang ambil inisiatif ‘pasang’ pengawal peribadi kepada pemain dan kakitangan pasukan.
Pengurusan pasukan beranggapan keadaan sekarang nyata berbeza berbanding sebelum ini dan kawalan keselamata harus diperketatkan lagi bagi mengelak insiden tidak diingini terus berulang.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, berkata walaupun ada kekangan buat peminat untuk mendekati pemain namun jaminan keselamatan perlu diberikan untuk melapangkan minda pasukan sekaligus dapat beraksi baik.
“Kawalan kepada pemain juga lebih ketat dan mereka tidak boleh balik sendiri sebaliknya kena naik bas pasukan. Jika dahulu, mereka boleh balik dengan keluarga masing-masing selepas perlawanan namun sekarang ini tidak dibenarkan.
“Pada masa sama, kita juga ada mengupah pengawal peribadi yang akan menjaga individu tertentu dalam pasukan. Perkara sama juga dilakukan terhadap keluarga Faisal,” katanya ketika ditemui selepas aksi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Sebelum ini Selangor FC sudah mengesahkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan pengawal peribadi untuk memastikan keselamatan isteri dan keluarga Faisal terjamin.
Pelepas tamat perlawanan semalam, pemain dilihat dikawal ketat sepanjang berjalan menuju ke bas pasukan malah beberapa pengurusan pasukan juga turut dijaga oleh pengawal peribadi. – KOSMO! ONLINE