KEMAMAN – Sebuah syarikat pembekal dan perunding berkaitan marin, Ranaco Marine Sdn. Bhd. dan dua pengarah syarikatnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah keseluruhan RM446,709.13.
Wakil Ranaco Marine Sdn Bhd dan Ahmad Firdhaus Ramlan, 39, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua tujuh pertuduhan tersebut dibacakan dihadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Seorang lagi Orang Kena Saman (OKS) , Norihan Ahmad, 71, pula tidak menghadiri prosiding mahkamah hari ini atas faktor kesihatan.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga tujuh, ketiga-tiga OKS terbabit dengan niat bersama sebagai orang kena cukai gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM319,077.97 dan penalti berjumlah RM127,631.16 kepada Ketua Pengarah Kastam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada bulan Januari, Februari, Mac, April, September dan Oktober 2022 serta Januari, Februari, Mei, Jun, Julai dan Ogos 2023.
Mahkamah membenarkan Ahmad Firdhaus dibebaskan dengan wang jaminan RM17,500 dan seorang penjamin dan sebutan semula kes menetapkan pada 27 Jun depan.- KOSMO! ONLINE