fbpx

Israel takkan tewas selagi wujud ‘lalat’ antara kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aznil, Siti dan Daiyan kini merupakan antara selebriti yang lantang bersuara tentang penderitaan rakyat Palestin.

Ada mesej dalam tulisan lagu protes penyanyi rap Amerika Syarikat Macklemore berjudul Hind’s Hall berbunyi, actors in badges protecting property umpamanya dari satu sudut pandang, memberi makna bahawa selebriti acah-acah bersuara tentang Palestin, namun tidak secara sepenuhnya.

Barangkali itulah yang berlaku apabila sebilangan selebriti tempatan ‘terduduk’ selepas nama mereka disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024 yang kini menjadi satu ‘kebangkitan’ dalam industri seni tanah air.

Antara nama yang dipetik masih menjalin kerjasama dengan jenama pro-Israel ialah Mira Filzah, Daiyan Trisha, Neelofa, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Janna Nick, Ruhainies dan ramai lagi.

Hanya selepas kelakuan mereka dibongkarkan saat Rafah semakin ‘hilang’ dari peta, sokongan terhadap Palestin semakin kuat berkumandang dalam kalangan selebriti tempatan yang kini kembali cakna dengan segala kebobrokan berlaku.

Penyakit pukul rata

Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin umpamanya antara figura yang paling ‘perform’ meskipun didakwa masih ada saki baki kolaborasi dengan jenama antarabangsa berkaitan Israel.

Kadang-kadang, kita sendiri lupa bahawa tiada apa yang sempurna di dunia bersifat sementara ini. Golongan selebriti yang dilihat hidup senang lenang juga ada kesulitan masing-masing untuk mendepani hari mendatang.

Barangkali, wujud tandatangan kontrak sesuatu jenama melibatkan mereka, namun kalau ingin ‘memutuskan’ pertalian, akan menyusahkan banyak pihak termasuk diri sendiri dan orang sekeliling.

“Saya ingin maklumkan bahawa saya telah menamatkan kontrak dengan beberapa jenama (berkait dengan Zionis).

SITI NURHALIZA menggesa agar tindakan boikot menggunakan kewarasan akal bukan emosi dangkal.

“Ada juga jenama yang saya akan hentikan kerjasama pada masa akan datang. Saya terima segala teguran dan memandang isu ini dengan serius,” jelas pelantun lagu Langit itu kepada Pose.

Islam itu indah. Janganlah hanya kerana ingin menjatuhkan musuh, wujud kelompok antara kita bercakaran, menghina serta mencaci sesama sendiri.

Sepertinya, Blockout 2024 sudah tersasar daripada tujuan sebenar apabila ‘dihuni’ mereka yang sewenang-wenangnya mengugut ingin menamatkan riwayat sesama saudara Islam.

Jangan taksub, guna akal

Itu yang berlaku kepada Naim Daniel apabila ada individu ‘terpaling’ Palestin melakukan ugutan bunuh terhadap ibu bapa penyanyi lagu Sumpah tersebut. Adakah itu cara orang Islam mendapatkan keadilan? Tepuk dada, tanya selera.

Sematkan dalam hati kata-kata penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang ditemu bual Pose baru-baru ini berbunyi: “Kita mahu buat perkara yang mempertahankan agama, jadi harus ikut cara agama. Kalau tak suka, diam.”

Aznil menitipkan pesanan kepada netizen agar berpada-pada dengan gerakan Blockout 2024.

Tanah Palestin takkan bebas selagi ada khianat atau ‘lalat’ antara orang Islam itu sendiri. Semangat kebersatuan itu adalah apa yang membuatkan legasi Islam begitu kuat suatu ketika dahulu.

Dewasa ini hakikatnya, perkakas yang para pembaca gunakan untuk membaca tulisan cabuk inipun barangkali adalah ciptaan atau inovasi bangsa yang kalian sangat musuhi.

Segala teknologi Meta atau kecerdasan buatan (AI) yang sedang berkembang sekarang berkaitan dengan kehidupan seharian kita semua juga adalah ciptaan orang Barat yang melalaikan, namun pada masa sama, ada dampak positifnya.

Janganlah kerana terlalu taksub menjadi terpaling baik memberi ruang kepada iblis melalaikan kita semua sekali gus berpotensi diletakkan posisi lagi bawah daripada orang jahat. Itu seperti apa dititipkan pengacara nombor satu Malaysia, Datuk Aznil Nawawi. Wallahuallam.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI