fbpx

Dunia lakonan masih di hati biar kini jadi pramugari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEE AISHAH mengakui dirinya seorang periang biarpun ramai menyangka dia garang.

Gadis Pesona Ahad minggu ini Siti Nur Aishah Bee Md. Nor, 22, atau mesra disapa Bee Aishah mengorbankan minatnya menjadi pelakon kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan dan memilih untuk menjadi pramugari ketika ini.

Dia yang merupakan graduan dalam bidang perfileman memberitahu, kos yang diambil dahulu ternyata sangat susah, namun bersemangat menimba ilmu dalam aktiviti belakang tabir serta lakonan pada masa itu.

Naib Juara Dewi Remaja itu berkata, dia masih mahu melibatkan diri dalam industri lakonan dan mengatakan, menjadi pramugari tidak semudah se­perti dilihat kerana banyak cabaran dari segi mental dan fizikal yang perlu dihadapi olehnya.

Kepada Kosmo! Ahad, Bee Aishah yang mempunyai pe­nyakit talasemia berkongsi cerita mengenai dirinya dan peranca­ngan masa depan.

KOSMO! AHAD: Ceritakan mengenai diri anda?
BEE AISHAH: Saya seorang periang tetapi pendiam bila bersama dengan orang tak dikenali.
Orang selalu ingat saya garang disebabkan wajah yang serius. Berasal dari Johor dan menetap di Kuala Lumpur berseorangan sejak berumur 18 tahun.

Ceritakan tentang penyakit anda?
Saya menghidap talasemia sejak berumur tiga tahun.
Pemindahan darah dan ubat adalah cara untuk saya terus hidup. Sebulan sekali saya perlu ke Hospital Klang untuk pemindahan darah.

Kerjaya ketika ini dan bagaimana bermula?
Pramugari, kerjaya ini memang impian saya sejak kecil. Pada mulanya, hanya ikut rakan pergi temu duga tetapi ­akhirnya diterima bekerja sejak Ogos 2023.

BEE AISHAH mengakui, kerjaya sebagai pramugari tidak semudah yang disangka ramai.

Cabaran ketika bertugas di awan biru?
Cabaran terbesar adalah diri saya sendiri. Tidak semua orang tahu saya seorang pesakit talasemia.
Saya perlu mengekalkan kesihatan dengan mengambil ubat serta melakukan pemindahan darah tepat pada masanya. Apa yang penting saya perlu kekal tersenyum.

Anda minat berlakon kenapa berhenti?
Keadaan kewangan menyebabkan saya tidak dapat te­ruskan menjadi pelakon.
Bagaimanapun lakonan membuatkan saya gembira dan teruja walaupun terpaksa bangun awal pagi atau bekerja lebih daripada 24 jam sehari. Saya sempat berlakon tiga drama kerana sibuk di awan biru.

Perancangan masa depan Bee Aishah?
Belum pasti lagi kerana be­kerja sebagai kru kabin satu langkah menstabilkan kewangan supaya boleh kembali ke landasan impian sebagai pelakon.
Harap beberapa tahun lagi saya dapat melakukan perkara yang saya benar-benar mahu dan suka, membeli rumah sendiri dan memberi ibu kehidupan yang selesa.

Hobi di masa lapang?
Bermain game dan belajar bahasa baharu. Saya ketika ini sedang belajar bahasa Korea.

Ciri lelaki idaman?
Seorang yang bertanggungjawab dan tidak pernah jemu menjaga saya yang sakit dan boleh menerima saya seadanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI