fbpx

Balasan rampas kekasih teman baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selepas berkahwin dengan Ali yang merupakan bekas kekasih teman baiknya, Mia berasa keperitan dalam rumah tangga kerana dirinya ibarat tidak dipedulikan lelaki itu. – Gambar hiasan

SUDAHLAH hilang kawan, kini suami yang dinikahinya juga benar-benar berubah sikap, menyebabkan Mia (bukan nama sebenar) berasa kesal.

Benar kata orang, kifarah itu ada dan kini Mia terpaksa menerima akibat daripada perbuatannya sendiri.

Akui anak kelahiran negeri di utara tanah air itu, dia telah merampas dan berkahwin dengan Ali (bukan nama sebenar) yang merupakan teman lelaki kepada rakan baiknya sendiri.

Membuka cerita lampau, Mia berkata, dia mengenali Ali semasa masih menuntut di sebuah universiti swasta di ibu kota.

Ali pada matanya biasa-biasa sahaja, namun layanannya terhadap teman baik Mia iaitu Kina (bukan nama sebenar) menyebabkan Mia terpikat pada Ali.

“Ali romantis, lemah lembut dan cukup penyabar, menyebabkan saya benar-benar mahu merampas lelaki itu daripada Kina.

“Biarpun sedar Kina adalah teman baik saya, namun saya mahu mereka berpisah kerana mahu Ali menjadi milik saya,” tutur Mia.

Dia mula memberanikan diri mengajak Ali keluar berdua dan cuba menggoda lelaki itu.

Memandangkan Mia lebih cantik dan lebih manja daripada Kina, dia dengan mudah menggoda Ali sehingga menidurinya, menyebabkan mereka dipaksa kahwin oleh keluarga Mia demi untuk menutup malu.

Mia cuba melakukan apa sahaja termasuk memakai tudung demi memikat kembali suaminya.
– Gambar hiasan

“Selepas kami dipaksa berkahwin, saya berasa lega kerana akhirnya Ali berjaya menjadi milik saya.

“Kina pula kemudiannya menyambung pengajian ke luar negara dan kami tidak pernah berhubungan lagi,” kata Mia.

Sangka Mia, selepas menjadi isteri Ali, hidupnya akan bahagia, namun ternyata tekaan itu salah apabila Mia dilayan dengan sangat teruk oleh Ali.

Ali memang tidak pernah culas bab nafkah, namun dia jarang berada di rumah, tidak mempedulikan emosi Mia dan sering memburuk-burukkan Mia kepada keluarganya, sehingga menyebabkan mereka semua amat membenci Mia.

“Biarpun sudah berkahwin dengan Ali, namun keluarganya tetap membanding-bandingkan saya dengan Kina.

“Ali telah berjaya memburuk-burukkan saya dengan amat teruk kepada keluarganya sehingga menyebabkan mereka amat membenci saya.

“Walau sehebat mana pun saya cuba mengambil hati keluarga mentua, mereka tetap membenci dan tidak pernah melayan saya dengan baik,” kata Mia.

Dia juga sudah hilang kawan memandangkan perbuatannya terhadap Kina telah menyebabkan bukan sahaja Kina enggan bersahabat dengannya, malah rakan-rakan lain turut menjauhkan diri daripada Mia, menyebabkan wanita itu berasa sunyi.

Mia perlahan-lahan mulai berubah untuk menjadi isteri yang baik kepada Ali, kerana dia terlalu cintakan lelaki itu. Dia mula memakai tudung, belajar memasak dan belajar agama demi untuk memikat hati suaminya itu.

Namun, semua itu tidak langsung dihiraukan Ali dan lebih menyedihkan apabila Mia mendapat tahu Ali dan Kina kembali berhubungan selepas Kina kembali ke tanah air lebih dua tahun lalu.

“Kina kini bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota dan saya mendapat tahu bahawa Ali kerap berjumpa wanita itu selepas waktu bekerja.

“Ali sememangnya masih menyimpan perasaan terhadap Kina dan saya tahu dia mahu berkahwin dengan wanita itu.

“Ramai yang menyuruh saya untuk bercerai dengan Ali, namun entah mengapa, dalam hati ini, saya yakin satu hari nanti Ali akan mampu untuk mencintai saya,” luahnya sambil mengakui bahawa ini mungkin adalah balasan atas perbuatan jahatnya sendiri.

Biarpun sedih kerana sedang berdepan krisis rumah tangga, Mia mahu terus berdoa agar satu hari nanti hubungan dia dengan Ali akan pulih dan perkahwinan mereka akan terus kekal sampai bila-bila.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI