PETALING JAYA – Polis menggempur sebuah rumah di Sabak Bernam, Selangor, awal pagi tadi, yang dijadikan sebagai rumah transit penyeludupan migran menerusi jalan laut.
Op Pintas itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula kira-kira pukul 1.30 pagi.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seramai 20 orang migran warga Indonesia yang melanggar pelbagai kesalahan ditahan dalam serbuan itu.
“Seorang lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007.
“Lapan lagi warga Indonesia termasuk tiga wanita berusia antara 22 hingga 42 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, 11 lagi warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soffian berkata, fokus operasi itu adalah mengenal pasti migran yang memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan iaitu jalan laut.
“Siasatan awal mendapati rumah itu dijadikan sebagai tempat transit atau rumah penampungan migran, yang keluar dan masuk ke Malaysia melalui jalan laut secara haram.
“Kita percaya aktiviti ini aktif lebih kurang satu minggu,” katanya.-KOSMO! ONLINE.