fbpx

Tiada niat persenda isu Palestin, video Ning Baizura disunting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ning berkata orang ramai tidak akan salah faham sekiranya mereka menonton keseluruhan video siaran langsung tersebut.

PETALING JAYA – Teruk dikecam gara-gara didakwa kurang cakna terhadap isu Palestin, penyanyi Ning Baizura mengakui tidak sengaja memberi reaksi sedemikian kerana sibuk melayan permintaan peminat untuk menyanyikan lagu.

Ujar Ning atau Ning Baizura Sheikh Hamzah, 49, orang ramai tidak akan salah faham sekiranya mereka menonton keseluruhan video siaran langsung tersebut.

“Kalau awak ada peluang untuk menonton keseluruhan video itu pasti awak tahu apa yang berlaku dan saya ada kongsi dalam Instagram.

“Ketika peminat meminta lagu, saya membaca komen yang keluar dan pada ketika itu secara khususnya saya bercakap nama penonton yang sukar disebut.

“Semasa baca komen peminat, tanpa sengaja saya beri reaksi seperti itu. Saya tak bermaksud mahu mempersenda situasi di Gaza dan tempat itu. Sebab itu saya cakap ‘siapa itu’ bukan ‘apa itu’,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Pelantun lagu Curiga itu turut mengakui berasa kecewa dengan sikap segelintir netizen yang menyunting video tersebut sehingga menyebabkan tuduhan bertambah teruk.

Menurut Ning, hakikatnya dalam diam ada membantu rakyat Palestin namun enggan menguar-uarkan sumbangannya itu.

“Saya rasa perkara kecil ini telah tular tanpa mengetahui situasi sebenarnya. Sangat mudah bagi orang lain untuk sunting video seperti yang tular.

“Terus-terang saya tidak berniat hendak menyakiti sesiapa pun kerana tahu apa yang berlaku di Palestin. Saya juga banyak menyumbang.

“Cuma benda-benda amal ini tidak perlu diuar-uarkan, semuanya datang dari hati kita,” ujarnya.

Bukan tampil memberi seribu alasan sebaliknya Ning berpendapat tidak adil netizen tidak mendengar penjelasan daripadanya dan hanya menghambur kata nista susulan video berkenaan.

“Saya di sini bukan ingin memberi alasan tapi sebagai manusia kita berhak untuk mendengar penjelasan kedua-dua belah pihak sebelum menyerang Instagram saya menggunakan kata-kata kasar.

“Segelintir peminat saya keluar memberikan kenyataan terima kasih untuk sokongan itu dan yang tidak mengikuti saya keluarkan pelbagai perkataan tidak sedap didengar,” ujarnya.

Sebelum ini, netizen kecewa dengan respon Ning yang bertanya siapa ‘Rafah’ ketika muncul menerusi video siaran langsung dalam Instagram miliknya.

Dia memberi respons spontan itu selepas penonton video siaran langsungnya meninggalkan komen ‘All Eyes on Rafah’. “All eyes on Rafah… Who’s that?,” katanya sambil tersenyum ketika membaca komen tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI