fbpx

Terbuka Thailand: Zii Jia selangkah raih gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA melangkah ke final pertamanya musim ini selepas menewaskan Tien Chen di separuh akhir Terbuka Thailand sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melangkah ke perlawanan akhir pertamanya musim ini selepas mara ke pentas final pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand yang berlangsung di Bangkok.

Pada aksi separuh akhir di Stadium Nimibutr sebentar tadi, pemain No.10 dunia itu mengenepikan cabaran perseorangan utama Taiwan, Chou Tien Chen menerusi aksi tiga set 18-21, 21-12, 21-13 dalam tempoh 49 minit.

Zii Jia yang turun sebagai pilihan keenam kejohanan bagaimanapun sedikit bergelut pada awal permainan sehingga membuka ruang kepada Tien Chen untuk menguasai perlawanan, seterusnya memenangi set pertama.

Bagaimanapun, bekas juara Asia itu kembali memperkemaskan permainan di set kedua menerusi aksi yang lebih baik selain mempamerkan kelebihannya dari segi pukulan smash sebelum menang 21-12 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, kedua-dua pemain pada awalnya menampilkan aksi yang seimbang, namun Zii Jia seolah-olah ‘dirasuk’ apabila bermain secara agresif ketika mendahului 11-10 dan berjaya melengkapkan kemenangan 21-13.

Menanti Zii Jia di perlawanan akhir esok adalah pemain Hong Kong, Ng Ka Long yang mengesahkan tempat lebih awal selepas menewaskan wakil tuan rumah, Kunlavut Vitidsarn 21-14, 18-21, 21-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI