PUTRAJAYA – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) mengenakan bayaran RM13,000 hingga RM21,000 bagi setiap orang memasuki negara ini.
Bayaran berkenaan dikenakan terhadap PATI mencari peluang pekerjaan secara haram di negara ini.
Bagaimanapun, operasi yang dijalankan selama dua bulan itu dihidu Jabatan Imingresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas ke atas sebuah premis kediaman di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada Khamis lepas.
Ketua Pengarah JIM Datuk Rusli Jusoh berkata, pada operasi kira-kira pukul 7 malam bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Putrajaya, pihaknya berjaya menahan lapan lelaki warga Bangladesh termasuk seorang dipercayai ‘transporter’ berusia 21 hingga 38 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis kediaman dan bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh suspek secara mencurigakan di lot parkir premis tersebut.
“Suspek yang memandu kenderaan tersebut mula memecut setelah menyedari kehadiran pasukan operasi tetapi berjaya dipintas. Seorang ‘transporter’ berusia 33 tahun bersama dua lelaki ditahan,” katanya dalam kenyataan tadi.
Jelasnya, hasil daripada penahanan itu, pihaknya telah memeriksa premis kediaman dan menahan lima lagi PATI.
Katanya, modus operandi sindiket adalah dengan membawa PATI ini dengan menaiki pesawat dari Bangladesh ke Vietnam dan akan dibawa menaiki kereta ke Thailand.
“Seterusnya, PATI dibawa menaiki bot dari Thailand untuk ke Kelantan dan ‘transporter’ warga tempatan akan membawa PATI ke premis kediaman di Jalan Sultan Ismail dengan menaiki kereta.
“PATI akan dihantar ke lokasi yang dipilih sendiri setelah selesai membuat bayaran kepada agen warganegara Bangladesh yang berada di Malaysia,” ujarnya.
Ruslin berkata, pihaknya turut merampas 10 naskhah pasport Bangladesh, telefon bimbit (tiga), wang tunai RM500 dan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipercayai untuk mengangkut PATI.
Kesemua ditahan ujarnya, dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya dan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ATIPSOM 2007. – KOSMO! ONLINE