fbpx

Simpan duit 18 tahun, lima beradik berjaya tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAPAN sekeluarga menunaikan haji serentak hasil perancangan serta menyimpan wang selama lebih 18 tahun.

MEKAH – Hajat ibu bapa yang mahu semua anaknya menunaikan haji di usia muda termakbul hasil perancangan serta simpanan wang selama lebih 18 tahun.

Dalam tempoh tersebut, wang hasil pendapatan Abdul Wahab Md. Saad dan Norani Mohamed Noh sebagai pekerja swasta serta jururawat dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji setiap bulan bagi memastikan enam anak dapat menunaikan ibadat rukun Islam kelima itu.

Kini, lima daripada enam anak selain tiga menantu dapat menjejakkan kaki ke Mekah tahun ini sebagai dhuyufurrahman biarpun pasangan suami isteri tersebut tidak dapat bersama-sama mereka.

Menurut salah seorang anak, Mohamad Fadhzli Abdul Wahab 29, ibu bapanya mahu mereka mengerjakan haji di usia muda agar dapat melaksanakan ibadat dalam keadaan sihat.

“Kami didaftar secara se­rentak pada 2009 oleh ibu-bapa kami. Mereka mula menabung untuk semua anak-anak sejak kecil lagi secara bulanan sehinggalah kami berusia 18 tahun.

“Apabila berusia 18 tahun kami teruskan usaha tersebut sehinggalah permohonan kami diterima serentak,” katanya yang merupakan anak keempat pasangan tersebut.

Dalam pada itu, Nurul Adilla Farhana Abdul Wahab, 36, yang merupakan anak sulung berkata, ibunya membuat poto­ngan sekurang-kurangnya RM50 setiap bulan.

“Tabungan kami sejak kecil memang ada kerana ibu berniat agar semua anak-anaknya pergi haji bersama-sama,” jelasnya.

Mohd. Farid Firdaus Abdul Wahab, 35, pula berkata, kehidupan mereka tidak semudah yang disangka walaupun kedua-dua ibu bapa bekerja.

“Dulu kami susah. Ibu pun bermula dari peringkat bawah dan dia sanggup untuk membuat potongan gaji sikit demi sikit.

“Walaupun susah ibu tetap bertahan. Tapi itulah pengorbanan seorang ibu yang kita tidak tahu kesusahan ditanggung mereka sehingga tinggal beberapa ringgit sahaja. Dan atas pe­ngorbanan mereka, kami dapat menunaikan haji,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI