KUANTAN – Cuaca redup mengiringi pengebumian jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 di sini pada pukul 5.50 petang.
Ratusan ahli keluarga, saudara mara, rakan-rakan serta pegawai dan anggota polis hadir mengiringi keranda Allahyarham yang tiba di tanah perkuburan berkenaan pada pukul 5.18 petang
Dalam pada itu kedua ibu bapa Allahyarham Muhamad Syafiq iaitu Ahmad Said Md Piah, 65, dan Aini Mohd Shariff, 57, kelihatan tenang sepanjang proses pengebumian.
Terdahulu jenazah Allahyarham Muhamad Syafiq bersama seorang lagi anggota, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dibawa dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.
Kedua-dua jenazah kemudian dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir. – KOSMO! ONLINE