fbpx

Sebak terima hadiah ‘mahal’ daripada pelajar ‘istimewa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara lukisan hasil tangan pelajar tersebut bersempena dengan sambutan hari guru baru-baru ini.

PETALING JAYA – Seorang guru sebak apabila menerima sekeping lukisan sebagai tanda ingatan daripada pelajar istimewa aliran program pendidikan khas sempena sambutan hari guru baru-baru ini.

Momen mahal itu dikongsikan di laman TikTok @ommahanis, yang memaparkan beberapa keping lukisan karakter hero seperti Kamen Rider dan Abaranger berserta kad permainan yang dilukis sendiri untuk setiap guru.

Apa yang menarik perhatian, pelajar tersebut mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk menyiapkan lukisan istimewa karakter siri rancangan televisyen Jepun itu, siap dengan nama 88 orang guru yang menjadi pemiliknya.

“Lukisan ini pelajar saya lukis dan warna sendiri, saya tak mengajar dia tapi semua cikgu dekat sekolah dapat, tiada seorang pun yang tertinggal. Dia ingat semua nama cikgu. Bayangkan 88 orang guru, semua dapat. Dia kata, mula lukis dari bulan puasa.

“Setiap cikgu akan dapat lukisan yang berlainan, tiada yang sama. Semua cikgu gembira sangat dapat hadiah istimewa ni, sungguh kami sangat terharu. Rasanya inilah hadiah yang paling mahal kami pernah dapat,” kata guru tersebut.

Meninjau ke ruang komen, rata-rata pengguna memuji hasil tangan pelajar tersebut dan turut terharu dengan kegigihannya menyiapkan hadiah hari guru walaupun dalam serba kekurangan.

“Kreatif dan sangat berbakat. Terharunya apabila hadiah hasil tangan pelajar, itulah yang paling bermakna buat para guru,” komen Yany.

“Kalau saya cikgu yang dapat hadiah lukisan tu, memang saya akan letakkan dalam frame sebagai kenangan,” kata seorang pengguna.

“Hadiahnya mungkin tidak semewah yang lain, namun nilai keikhlasannya melebihi segalanya, jaga dia baik-baik cikgu,” ujar Sabri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI