PETALING JAYA – Rata-rata graduan dalam bidang kejuruteraan dan bahasa mengakui mereka masih sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan pengajian selama lebih tiga tahun di universiti.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, seorang pengguna Facebook, Mohammad Itman memuat naik hantaran bertanya kepada pengikutnya mengenai pekerjaan mereka ketika ini.
“Grad (tamat belajar) dahulu bidang apa? Sekarang kerja apa?,” soalnya.
Hantaran Mohammad Itman menerima 212 komen dan semakan Kosmo! mendapati, hampir separuh daripada jawapan balas orang ramai memaklumkan mereka adalah graduan jurusan kejuruteraan dan kini masih berharap ditawarkan pekerjaan dalam bidang pengkhususan tersebut.
“Saya graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa dan sekarang kerja sebagai penghantar makanan. Masih belum ada rezeki berkhidmat dalam bidang tersebut,” kongsi Fathir.
“Dulu belajar kos (bidang) kejuruteraan, tapi sekarang lebih selesa kerja sebagai rider (penghantar). Ada dapat offer (tawaran kerja), tapi gaji campur ot (kerja lebih masa) dalam RM2,500 sahaja. Tak sepadan dengan penat lelah belajar empat tahun. Sekarang jadi rider sebulan alhamdulillah cecah RM3,500,” kata Mohd. Amirul.
Dalam pada itu, terdapat juga graduan bahasa merungut kerana mereka juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
“Tamat dengan kelas pertama Sarjana Muda Bahasa Melayu Profesional, tapi masih menganggur, kerja sambilan jadi rider. Lepas la untuk bantu keluarga bayar apa yang patut,” katanya Ajmal. – KOSMO! ONLINE