PETALING JAYA – Berpasak teguh kepada pesanan arwah ibu supaya tidak berdendam dan memaafkan semua orang, penyanyi rap Alyph mengakui hidupnya semakin tenang selepas berbuat demikian.
Ujar Alyph atau nama sebenarnya Muhammad Alif Abdullah, 34, nasihat tersebut merupakan ingatan terindah yang dipegang sehingga ke hari ini.
“Nasihat arwah ibu yang paling saya ingat ialah walau apapun orang buat pada kita, cubalah untuk memaafkan, hidup kita akan tenang.
“Kiranya jangan simpan dendam atau pernah berperasaan sedemikian terhadap sesiapa.
“Perkataan justice (adil) yang kita perjuangkan itu pada akhirnya akan menyakitkan hati sekiranya kita tak dapat kepuasan dalam melakukan perkara itu,” katanya menerusi video temu bual.
Tambah pelantun lagu Swipe itu lagi, sebagai manusia, kita tidak wajar mendoakan balasan buruk berlaku kepada insan lain, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada Tuhan.
“Kita perlu percaya kepada Tuhan dan cuba untuk maafkan orang yang sakiti kita.
“Pada masa sama, kita pun tidak boleh mendoakan yang buruk-buruk terhadap individu tersebut.
“Paling penting adalah fokuskan diri. Tengoklah, seiring masa berlalu, benda-benda pelik (balasan) akan jadi dengan sendirinya,” ujarnya positif
Arwah ibu Alyph iaitu Allahyarhamah Maria Salim meninggal dunia pada tahun 2016.
Dalam perkembangan lain, artis asal Singapura itu baru melancarkan single berjudul Dari Jauh. – KOSMO! ONLINE